Michele Kythe Lim
KUALA LUMPUR, 15 Okt — Permintaan untuk mempunyai lembaga pengarah berkelas dunia dalam pasaran ASEAN dijangka meningkat memandangkan wilayah ini akan terus menjadi peserta utama perdagangan global malah syarikat rantau ini turut berkembang ke pasaran lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Michele Kythe Lim berkata justeru itu, pihaknya merancang untuk menerajui serta membentuk rangkaian serantau yang kukuh pengarah korporat yang diiktiraf secara profesional dan dihormati dalam ASEAN dan dunia.
“Susulan berakhirnya sidang kemuncak ini, ICDM akan terus berperanan dalam memudahkan lebih banyak perbincangan dan rangkaian mengenai perkara berkaitan dengan lembaga pengarah dan para pengarah.
“Kami akan mengenal pasti serta membangkitkan isu mewakili anggota kami dan komuniti pengarah yang lebih luas secara proaktif,” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup Sidang Kemucak Pengarah Antarabangsa 2019 di sini, hari ini.
Beliau berkata ICDM bermatlamat meningkatkan keberkesanan lembaga pengarah selain menggalakkan kecemerlangan dalam tadbir urus menerusi langkah memperkukuhkan profesionalism pengarah melalui pendidikan dan program pembangunan, penyumberan berasaskan kompetensi, penilaian lembaga pengarah, penyelidikan dan sokongan.
“Realitinya, perniagaan beroperasi dalam persekitaran yang amat tidak menentu, tidak boleh dipercayai, tidak adil, sukar dan kabur.
“Lembaga pengarah dan syarikat kini berdepan pemantauan yang lebih teliti berbanding sebelum ini. Pemegang saham meletakkan tanggungjawab lebih besar kepada anggota lembaga pengarah bagi prestasi syarikat mereka,” katanya.
Beliau berkata ini bertujuan memastikan syarikat dapat mengharungi cabaran dan mengurangkan risiko sama ada kewangan atau bukan kewangan.
Lim turut menekankan dalam era digital masa kini, lembaga pengarah tidak lagi boleh mengambil ringan budaya kepelbagaian.
“Untuk kekal berdaya saing, lembaga pengarah perlu bertindak proaktif untuk memastikan wujudnya gabungan umur, gender, kemahiran, kewarganegaraan, latar belakang profesional dan elemen relevan lain berada pada tahap optimum.
“Kepelbagaian membantu melindungi daripada ‘pemikiran kumpulan’ memandangkan perspektf berbeza di dalam bilik lembaga pengarah bermaksud status quo sentiasa dicabar dan dinilai semula secara kritis.
“Ini, seterusnya, akan memastikan wujudnya proses membuat keputusan yang kukuh dan berkesan sekali gus akan membantu lembaga pengarah mengharungi cabaran abad ke-21,” katanya
Lebih 400 peserta tempatan dan luar negara menyertai Sidang Kemucak Pengarah Antarabangsa anjuran ICDM kali ini dengan lebih 30 penceramah, termasuk dari Eropah, berkongsi pandangan mereka.
— BERNAMA
Artikel ini diambil dari Bernama.