Syarikat Tersenarai Perlukan Ahli Lembaga Pengarah Muda

14 October 2019

PENGERUSI Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Tan Sri Zarinah Anwar. – Foto NSTP/Rosela Ismail

PENGERUSI Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Tan Sri Zarinah Anwar. – Foto NSTP/Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Penyertaan golongan muda sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat senaraian awam perlu ditingkatkan kerana mampu membawa impak positif kepada syarikat.

Pengerusi Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Tan Sri Zarinah Anwar, berkata berdasarkan Tinjauan Tahunan Pengarah Korporat PWC 2018, ia menggariskan kepentingan menambah bilangan ahli lembaga pengarah muda ke dalam syarikat.

Katanya, golongan ini mempunyai kemahiran lebih baik untuk menyumbang kepada transformasi digital syarikat dan membantu lembaga pengarah meninjau peluang baharu dan cabaran dalam memacu pertumbuhan perniagaan.

“Pengarah muda membawa bersama mereka latar belakang dan kemahiran bukan tradisional kepada syarikat dan dilihat lebih cenderung menyokong pelaburan berimpak dan prihatin terhadap produk mampan.

“Tambahan lagi, meningkatkan kepelbagaian usia dilihat mempunyai impak positif untuk mencapai kepelbagaian jantina yang lebih baik dalam lembaga pengarah,” katanya berucap pada Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa 2019 di sini, hari ini.

Sidang kemuncak itu dilancarkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Albar.

ICDM yang ditubuhkan pada 2017 oleh SC bertujuan menggalakkan kecemerlangan, integriti dan tahap kemahiran serta kecekapan profesional tertinggi dalam kalangan pengarah korporat di Malaysia, selain menyokong penggunaan dan penerapan amalan tadbir urus korporat.

Penubuhan ICDM sejajar dengan inisiatif Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat (2017-2020), yang juga disokong oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bursa Malaysia.

Sementara itu Syed Zaid berkata, seperti yang diketahui ramai, persekitaran perniagaan masa kini telah menjadi lebih dinamik yang bermaksud keperluan untuk syarikat berjaya pada masa akan datang adalah berbeza dengan hari ini.

Katanya, satu kajian oleh Boston Consulting Group menggariskan perniagaan hari ini melalui perubahan dalam kitaran hidup mereka pada kadar dua kali lebih cepat berbanding 30 tahun lalu.

“Syarikat di Amerika Syarikat (AS) mempunyai satu dalam tiga peluang untuk gagal dalam lima tahun akan datang, yang mana meningkat berbanding satu dalam 20 berbanding 50 tahun lalu.

“Ini mencerminkan pengecutan jangka hayat syarikat. Justeru, bagi memastikan syarikat untuk kekal relevan, laporan itu mengatakan adalah penting untuk syarikat menyesuaikan strategi mereka dengan persekitaran, membiasakan diri dengan perubahan situasi dan membina ketahanan bagi mengekalkan penyesuaian.

“Bagi melaksanakan semua perkara berkenaan, lembaga pengarah mesti memahami trend gangguan baru muncul dalam perniagaan hari ini, mencabar andaian terhadap strategi pengurusan dan membantu mengenalpasti laluan pertumbuhan baharu,” katanya.

Artikel ini diambil dari Berita Harian Online.

Sponsors & Partners

gold sponsor

silver sponsors

Supporting Partners