Terap Elemen Tadbir Urus Baik dalam Kalangan Ahli Lembaga Korporat – ICDM

15 October 2019


Michele Kythe Lim

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) kini dalam usaha menerapkan elemen tadbir urus baik sebagai satu ciri utama ahli lembaga korporat di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ICDM Michele Kythe Lim berkata apabila sektor korporat mengamalkan sistem tadbir urus yang baik mereka akan lebih dipercayai oleh pengguna, pekerja dan juga pemegang taruh.

“Kita perlu kepercayaan sebab apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita memerlukan kepercayaan, dan apabila kita menerapkan tadbir urus yang baik (dalam syarikat) kita mampu membina kepercayaan itu dan orang akan melihat kita lebih telus.

“Tapi ia tidak semudah itu untuk mengubah minda dan tidak boleh dilakukan serta-merta. Oleh sebab itu kami sentiasa membangkitkan isu ini dalam sidang kemuncak dan akan terus membawa isu ini jika perlu,” katanya kepada Bernama pada hari kedua Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa ICDM 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata ICDM sentiasa akan membantu sektor korporat di negara ini dengan mewujudkan platform dan rangkaian serta akan memberi nasihat dalam memperbaiki tadbir urus diri dan meningkatkan kesedaran menjadi tadbir urus korporat yang dicontohi.

Ketika ditanya mengenai perkara yang boleh dipelajari daripada skandal korporat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memperlihatkan ahli lembaga pengarah gagal bertindak ketika mengesan berlakunya masalah di peringkat awal, beliau berkata itu menunjukkan kepentingan peranan mereka di dalam organisasi itu.

Tanggungjawab dan tugas ahli lembaga adalah mempersoalkan keputusan yang dibuat atas dasar kepentingan terhadap syarikat apabila berlaku sebarang keraguan, tegasnya.

“Menjadi antara ahli yang paling kanan dalam sesebuah organisasi, kita seharusnya mempersoalkan perkara yang kita ragui kerana sebagai peneraju kepada syarikat, kita sebenarnya memegang tanggungjawab yang diamanahkan oleh pemegang taruh,” katanya.

Sidang kemuncak dua hari itu menjadi platform kepada peserta untuk berbincang, berdebat dan mencari jalan bagi menjadikan kepimpinan tadbir urus korporat lebih cekap dalam menuju cabaran abad ke-21.

Lebih 400 peserta terdiri daripada pemimpin eksekutif tempatan dan serantau, pakar tadbir urus, wakil kerajaan dan anggota masyarakat hadir pada sidang kemuncak yang julung kali diadakan itu.

— BERNAMA

 

Artikel ini diambil dari Bernama.

Sponsors & Partners

gold sponsor

silver sponsors

Supporting Partners